8.3 PERATURAN DISIPLIN MURID

NURUL ANIS ALMA BT AHMAD
D20191089081
UNIVERSITI PENDIDIKAN SULTAN IDRIS

8.3.1 PENGENALAN

Peraturan didefinisikan sebagai undang- undang yang ditetapkan demi menjaga keharmonian dan kesejahteraan aktviti- aktiviti yang dilakukan oleh masyarakat. Begitu juga dengan peraturan sekolah merupakan satu bentuk undang- undang yang dipersetujui oleh seluruh warga sekolah untuk mengawal disiplin dan tingkah laku komuniti yang berada di dalamnya. Menurut Abdullah Sani (2005), disiplin bermaksud satu bentuk latihan bagi mengembangkan lagi potensi individu dari segi intelek, jasmani, rohani dan sosial agar menjadi insan yang berilmu pengetahuan dan berguna kepada masyarakat. Pendidikan berfungsi untuk membentuk murid- murid menjadi warganegara yang baik dan berguna. Jadi, guru berperanan penting bagi memastikan murid- murid mematuhi sekolah yang telah ditetapkan. Peranan seorang guru dalam mengawal disiplin murid jelas disebut dalam Surat Pekeliling Ikhtisas Bil. 9/1975 yang menyatakan bahawa tugas mendisiplinkan murid bukan sahaja tanggungjawab guru besar tetapi tugas semua guru- guru juga.

8.3.2 PERATURAN BERKAITAN DISIPLIN MURID

Terdapat 3 rujukan utama undang- undang dan peraturan disiplin yang dipraktikkan terhadap sekolah-sekolah di seluruh Malaysia iaitu:

1. Peraturan- peraturan Pelajaran (Disiplin Sekolah) 1959 / Peraturan 1959
Antara perkara utama yang diperuntukkan dalam Peraturan 1959:
  • Peraturan 4- Guru besar sebagai orang yang bertanggungjawab ke atas disiplin sekolah
  • Peraturan 5- Tatacara hukuman rotan.
  • Peraturan 6- Perwakilan kuasa oleh guru besar kepada guru lain dalam tindakan disiplin.
  • Peraturan 8,11 dan 12- Kuasa guru besar dalam menggantung persekolahan atau membuang sekolah terhadap murid atas kesalahan disiplin.

2. Buku- buku Panduan Pengurusan Disiplin
  • Panduan Am Disiplin Sekolah- sekolah (1981)
  • Panduan Bagi Ibu Bapa Mengenai Disiplin Murid- Murid Sekolah (1982)
  • Panduan Tatacara Disiplin Sekolah untuk Guru Besar dan Guru (1983)
  • Panduan Disiplin untuk Pelajar- pelajar (1988)
  • Panduan Bagi Mengatasi Masalah Ponteng (1994)
  • Panduan Pengurusan Menangani Buli di Sekolah (2005)


3. Surat- surat Pekeliling Ikhtisas
  • Surat Pekeliling Ikhtisas Bil. 8/1968- Tatatertib di Sekolah- sekolah
  • Surat Pekeliling Ikhtisas Bil. 1/1972- Peraturan-peraturan Tatatertib Sekolah Pelajaran,1959
  • Surat Pekeliling Ikhtisas Bil. 6A/1975- Disiplin: Murid-murid Menghisap Rokok
  • Surat Pekeliling Ikhtisas Bil. 9/1975- Disiplin di Sekolah: Peraturan- peraturan Sekolah untuk Murid-murid
  • Surat Pekeliling Ikhtisas Bil. 9/1975- Perkara- perkara Tatatertib yang Dianggap Berat

8.3.3 JENIS- JENIS KESALAHAN MENGIKUT KATEGORI

1) KESALAHAN BERAT:
  • Melakukan mana- mana kesalahan sederhana kali ketiga.
  • Menyimpan, membawa, mengedar, menghisap atau terbabit dalam kegiatan dadah.
  • Menyebabkan atau melakukan pergaduhan atau kekerasan.
  • Melawan, mengancam, memukul, mengugut atau mencederakan guru/ pengawas/murid.
  • Biadap terhadap guru/pengawas/murid.
  • Memeras ugut guru/pengawas/murid.
  • Membawa atau menggunakan senjata atau alat berbahaya.
  • Melakukan buli, penderaan atau paksaan terhadap orang lain.
  • Mencuri, merompak, memecah masuk dan menceroboh kawasan larangan.

Hukuman: Rotan di punggung dengan dilapik pakaian dengan menggunakan rotan ringan (maksimum 3 kali sebatan)
2) KESALAHAN SEDERHANA:
  • Melakukan mana- mana kesalahan ringan melebihi 3 kali.
  • Menyalahgunakan, menggunakan peralatan, sumber bekalan elektrik sekolah tanpa kebenaran.
  • Keluar dari kawasan sekolah tanpa kebenaran.
  • Tidak amanah, menipu, berbohong dan meniru ketika ujian peperiksaan.
  • Ponteng sebarang acara rasmi sekolah.
  • Fesyen rambut keterlaluan seperti punk, skin head atau berwarna.
  • Menconteng pada harta benda ssekolah.
  • Memakai barang kemas keterlaluan seperti menindik telinga dan memakai subang berlebihan pada satu cuping telinga

 Hukuman: Rotan di tapak tangan dengan menggunakan rotan ringan (maksimum 3 kali sebatan)
3) KESALAHAN RINGAN:
  • Menyimpan misai, janggut dan jambang.
  • Berambut panjang atau menyerupai kumpulan tertentu.
  • Bermain dalam bilik darjah, koridor atau kawasan yang dilarang
  • Menggunakan dan membawa keluar sebarang peralatan bilik darjah dan sekolah tanpa kebenaran
  • Keluar dari bilik darjah tanpa kebenaran.
  • Berada di kantin pada waktu persekolahan (kecuali waktu rehat) tanpa kebenaran.
  • Tidak memakai pakaian sekolah yang lengkap.
  • Datang lewat ke sekolah.

Hukuman: Diberi amaran dan sesi kaunseling.

8.3.4 KUASA GURU DALAM MENDISIPLINKAN MURID MENGIKUT
         UNDANG- UNDANG

Prosedur untuk menjalankan hukuman rotan mengikut Peraturan-peraturan Pelajaran (Disiplin Sekolah) 1959:
  • Murid perempuan dikecualikan daripada hukuman rotan.
  • Hukuman rotan terhadap murid- murid lelaki hendaklah menggunakan rotan yang ringan dikenakan sama ada di tapak tangan atau punggung yang berlapik dengan pakaian.
  • Segala hukuman yang dilakukan hendaklah direkodkan dengan jelas seperti menyatakan jenis salah laku, bilangan sebatan, bahagian anggota yang dirotan, nama dan tandatangan perotan serta saksi semasa hukuman rotan dilaksanakan
  • Guru yang menjalankan hukuman rotan tidak mempunyai sebarang unsur dendam atau marah kepada murid tetapi hanya dengan tujuan untuk mendidik.
  • Hukuman rotan di khalayak ramai seperti di tapak perhimpunan atau di tempat berlangsungnya proses pengajaran dan pembelajaran adalah tidak dibenarkan sama sekali.

8.3.5 KESAN TIDAK MEMATUHI PERATURAN DALAM MENGAMBIL TINDAKAN DISIPLIN

1) Dikenakan tindakan undang- undang (tort)
Guru besar atau guru- guru boleh diambil tindakan undang- undang dengan perlu membayar ganti rugi dan tidak ditetapkan jumlahnya. Mereka boleh didakwa atas sebab kecederaan, kesakitan dan kecuaian yang dilakukan semasa menjalankan hukuman terhadap murid sekiranya berlaku kemalangan atau kecederaan fizikal.

2) Guru mendapat tekanan daripada pihak luar
Persatuan ibu bapa dan guru- guru serta parti- parti politik akan memberikan tekana dan campur tangan dalam menghukum guru besar atau guru- guru yang menjalankan hukuman yang terlalu tegas dan melampaui batas terhadap murid. Jadi, guru besar atau guru- guru perlu mengenakan hukuman mengikut panduan yang telah ditetapkan agar tidak dipersalahkan sekiranya perkara tidak diingini berlaku.

3) Kerjaya guru akan terjejas
Pandangan masyarakat terhadap sekolah dan guru- guru akan menjadi buruk sekiranya guru- guru tidak mematuhi peraturan semasa memberikan hukuman kepada murid- murid dan berlaku kejam semsa menjalankan hukuman. Keadaan ini juga akan mempengaruhi institusi pendidikan di Malaysia dan kehormatan guru- guru sebagai warga pendidik yang dimuliakan. Jadi, guru- guru perlulah mengawal emosi semasa menangani masalah disiplin murid agar tidak menjejaskan nama baik seorang pendidik.

8.3.6 PENUTUP

Kesimpulannya, guru besar dan guru- guru perlulah bekerjasama dalam mengawal selia tingkah laku dan disiplin murid di sekolah dengan cara sentiasa mengingatkan mereka mengenai peraturan- peraturan sekolah semasa di perhimpunan sekolah terutamanya. Hal ini yang demikian kerana murid- murid berperanan penting dalam pembangunan pendidikan di negara ini. Berdasarkan garis panduan yang dikeluarkan oleh pihak Kementerian Pendidikan Malaysia untuk menangani masalah disiplin di sekolah, guru- guru bertanggungjawab untuk melaksanakan peraturan- peraturan yang telah digariskan secara berkesan agar matlamat untuk mengurus dan mengawal kadar disiplin murid di sekolah dapat dicapai dengan baik.

Comments